Penduduk terjejas banjir di Sabah meningkat kepada 5,532 orang

Foto laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara

KOTA KINABALU, 27 Februari – Jumlah penduduk terjejas banjir di lima daerah di Sabah meningkat kepada 5,532 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 4,650 orang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPBN Sabah lapor 1,943 keluarga terkesan dan ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara.
  • Beaufort buka satu PPS baharu, Dewan Kesenian dan Kebudayaan Bisaya, menjadikan lima PPS di daerah itu.
  • Tenom masih catat jumlah terjejas tertinggi dengan peningkatan keluarga dipindahkan.
  • Keseluruhan 146 kampung dilaporkan terjejas banjir di lima daerah terbabit.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, kesemua penduduk terkesan daripada 1,943 keluarga.

Mereka kini ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak Rabu lepas.

Daerah Beaufort mencatat peningkatan jumlah penduduk terjejas kepada 1,456 orang daripada 510 keluarga berbanding 1,432 orang semalam dengan penambahan satu PPS baharu, iaitu Dewan Kesenian dan Kebudayaan Bisaya.

Penambahan itu menjadikan keseluruhan lima PPS dibuka di daerah Beaufort termasuk Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon.

Di daerah Tenom, jumlah penduduk terjejas kekal tertinggi, iaitu 3,149 orang daripada 1,063 keluarga, berbanding 2,406 orang daripada 795 keluarga malam tadi.

Sementara itu, penduduk terjejas di dua daerah lain kekal iaitu di Sipitang
dengan 421 orang daripada 176 keluarga.

Sook pula seramai 79 orang daripada 25 keluarga.

Manakala Membakut bertambah kepada 427 orang daripada 169 keluarga.

Secara keseluruhan, jumlah kawasan terjejas akibat banjir di kelima-lima daerah berkenaan kekal sebanyak 146 kampung.