Penduduk Perlis sambut baik bantuan SARA

Penerima SARA menebus pembelian barangan keperluan asas

PADANG BESAR, 9 Januari – Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan yang mula dikreditkan hari ini disambut baik dan terus memberi manfaat kepada rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan SARA digunakan ramai untuk membeli barangan keperluan harian tanpa perlu membawa wang tunai.
  • Penerima warga emas anggap bantuan itu sebagai rezeki mencukupi untuk menampung keperluan bulanan.
  • Program memberi impak positif kepada peniaga tempatan dan menarik pelanggan dari kawasan sekitarnya.

Tinjauan RTM di Perlis mendapati kebanyakan penerima menggunakan bantuan tersebut untuk membeli barangan keperluan harian.

Penduduk sekitar, Siti Rahimah Rosli berkata, bantuan itu amat membantu kerana memudahkan urusan perbelanjaan tanpa perlu membawa wang tunai.

“Membantu sangat sebab kita boleh guna bantuan ini tanpa perlu bawa duit tunai. Guna kad pengenalan sahaja untuk beli barang dapur bulanan, malah boleh guna untuk keperluan sekolah juga. Jadi duit gaji boleh disimpan atau digunakan untuk keperluan lain,” katanya.

Sementara itu, penerima warga emas Jamaliah Din, menyifatkan bantuan tersebut sebagai satu rezeki yang mencukupi untuk menampung keperluan bulanannya.

“Kira rezeki juga. Kalau dapat lebih memang lagi bagus. Mak cik beli keperluan makanan seperti beras, susu, kicap dan bahan kering.

“Setiap bulan bila duit masuk dalam kad, mak cik terus gunakan. Cukup untuk keperluan sebulan, memang mak cik guna sepenuhnya,” katanya.

SARA bukan sahaja membantu penerima, program itu turut memberi impak positif kepada peniaga yang menyediakan platform untuk menebus pembelian barangan asas.

Pengurus Pemasaran Kedai Agro Bazar Borong Wan Nor Anis Azmi berkata, ia memberi peluang kepada penduduk kawasan setempat untuk mendapatkan barangan asas.

“Apabila program ini bermula, pelanggan bukan sahaja dari kawasan setempat, malah datang dari luar seperti Felda Mata Ayer, Rimba Mas dan Batu 15. Jadi perniagaan tidak tertumpu kepada pelanggan tetap sahaja, tetapi semakin berkembang,” katanya.