fb fb fb fb fb

Pendidikan wajib 11 tahun, cadangan masih diteliti

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR, 23 Julai- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih meneliti cadangan mewajibkan pendidikan negara selama 11 tahun bermula dari sekolah rendah hingga tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Setakat ini, belum ada keputusan muktamad dibuat mengenainya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata ini merupakan satu langkah bagi menangani isu keciciran pembelajaran sehingga menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Cadangan tersebut sedang dalam perbincangan dan sedang diperhalusi oleh pihak KPM dan sekiranya KPM telah membuat satu keputusan muktamad, pihak kami akan membawa pindaan rang undang-undang yang sepatutnya untuk tujuan ini.

"Namun pada peringkat sekarang, saya hendak menyatakan ia masih dalam satu peringkat untuk pihak KPM mengkaji dan juga membuat keputusan muktamad.

"Berkenaan keciciran, sememangnya pihak KPM pada masa sekarang khasnya untuk anak- anak kita di luar bandar atau anak-anak Orang Asli, yang mana pihak KPM telah pun memulakan usaha bukan sahaja untuk menumpukan operasi sekolah K9 iaitu anak-anak kita belajar di bawah satu bumbung dari Darjah 1 sehingga Tingkatan 3.

"Kita sedang dalam usaha juga untuk memperluaskan sekolah-sekolah K9 ini kepada K11 iatu sampai ke Tingkatan 5", katanya dalam sesi Dewan Negara.

Ketika ini, pendidikan wajib hanya enam tahun iaitu sekolah rendah.

Beliau menjawab soalan tambahan, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, dalam Dewan Negara hari ini.

ROSLINA BINTI DIN