
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Pendidikan manusiawi dilihat sebagai asas penting bagi membentuk generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kesejahteraan dan kehidupan yang lebih baik.
- Komitmen membaiki infrastruktur sekolah termasuk tandas untuk memastikan murid belajar dalam keadaan selesa dan bermaruah.
- Pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan penting bagi memastikan murid tidak lapar dan mampu mengikuti pembelajaran dengan lebih baik.
- Intervensi kesihatan mental dan peluasan prasekolah percuma mengurangkan beban keluarga serta menyokong kesejahteraan dan perkembangan awal kanak-kanak.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, ia termasuk aspek kebajikan, kesihatan mental, pemakanan serta persekitaran pembelajaran murid di sekolah.
Susulan itu, pihaknya sentiasa komited dalam membaiki infrastruktur sekolah yang berkait dengan soal maruah bagi memastikan murid-murid dapat belajar dalam keadaan selesa.
“Pendidikan manusiawi adalah satu aspek pendidikan yang mesti kita lihat apabila membicarakan soal masa depan dan pencapaian anak-anak kita.
“Sebab itu kita mengambil inisiatif dengan membaiki infrastruktur sekolah, tandas, dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri Ke-13 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) di sini.
Datuk Seri Fadhlina berkata isu pemakanan turut menjadi antara aspek penting pendidikan manusiawi kerana terdapat murid yang hadir ke sekolah dalam keadaan lapar.
Pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) penting bagi memastikan murid mendapat keperluan pemakanan yang mencukupi sekali gus membantu mereka mengikuti pembelajaran dengan lebih baik.
Kepentingan intervensi kesihatan mental dalam kalangan murid, susulan perbincangan bersama pakar psikiatri dan kesihatan bagi memperkukuh usaha berkaitan aspek berkenaan.
Perluasan akses pendidikan prasekolah secara percuma juga merupakan sebahagian daripada pendekatan pendidikan manusiawi kerana mampu membantu mengurangkan beban kewangan keluarga.
“Program perluasan prasekolah secara besar-besaran juga turut manfaat kepada keluarga yang berpendapatan rendah.
“Apabila kita memberikan pendidikan awal prasekolah pada anak-anak secara percuma, ibu bapa juga dapat mengurangkan beban mereka. Ini juga pendidikan manusiawi,” katanya lagi.