
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ruang kebebasan kepada mahasiswa perlu diberikan sepenuhnya tanpa sebarang kekangan, khususnya dalam menyuarakan pandangan dan kritikan.
- Berikan mahasiswa kebebasan bersuara sepenuhnya tanpa kekangan, terutamanya dalam menyuarakan pandangan dan kritikan.
- Universiti perlu menjadi medan untuk mengasah pemikiran kritis dan pemikiran segar serta mempertahankan hujah masing-masing.
- Hentikan tindakan disiplin semata-mata kerana menyuarakan pandangan atau mengkritik pihak berkuasa.
- Kebebasan bersuara tidak boleh digunakan untuk melanggar undang-undang, mengganggu ketenteraman atau merosakkan harta awam.
Menurut beliau, universiti perlu menjadi medan kepada mahasiswa untuk mengasah pemikiran kritis dan segar, selain berani mempertahankan hujah masing-masing.
“Kita boleh perbahas dan kita boleh tuntut mahasiswa itu pertahankan hujah mereka.
“Tapi mesti jadikan universiti ini sebagai medan untuk pemikiran kritis dan pemikiran segar”.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai moderator pada Forum Ilmuwan Malaysia (FIM) MADANI siri ke-13, di sini, malam ini.
Menurut Datuk Seri Anwar, sebarang tindakan disiplin terhadap mahasiswa semata-mata kerana menyuarakan pandangan atau kritikan termasuk terhadap Perdana Menteri, perlu dihentikan serta-merta.
Bagaimanapun, kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan tindakan yang melanggar undang-undang, mengganggu ketenteraman atau merosakkan harta awam.
“Anda boleh membantah, anda boleh menentang, tetapi tidak boleh mengganggu dan tidak boleh merosakkan harta awam,” tambah beliau.
Turut hadir sebagai panel pada forum berkenaan ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.