fb fb fb fb fb

Naik taraf lesen motosikal B2 kepada B secara automatik diteliti - Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Bersama Persatuan Motosikal Malaysia di Kementerian Pengangkutan/BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 Januari- Kerajaan akan mencari mekanisme untuk mempercepatkan proses naik taraf lesen motosikal kelas B2 kepada B secara automatik.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beberapa pendekatan sedang diteliti, antaranya membabitkan umur dan tempoh pemilikan lesen.

"Apa yang telah kami bincangkan sebentar tadi bahawa ada tempoh tertentu terutamanya dari segi umur pemohon itu mesti berumur 35 tahun ke atas.

"Kedua, pemegang lesen B2 itu untuk satu tempoh yang tertentu, barulah layak untuk dapat B penuh, jadi dalam perkara ini kita akan muktamadkan bila mesyuarat terperinci diadakan di antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT)", katanya dalam sidang media Majlis Libat Urus Kementerian Pengangkutan bersama Persatuan Motosikal Malaysia di Putrajaya.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B, secara automatik akan dibawa kepada Kementerian Pengangkutan untuk diteliti terlebih dahulu.

Beliau menyatakan tiada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen kelas B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

ROSLINA BINTI DIN