fb fb fb fb fb

Pendakwaan tutup kes Siti Bainun, keputusan 24 November

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, yang didakwa mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, hari ini menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, yang mengetuai pasukan pendakwaan, memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi bahawa pihaknya menutup kes selepas juruteknik syarikat penapis air Mohamed Rezuan Satori, selesai memberi keterangan.

Hakim kemudiannya memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 18 November dan menetapkan 24 November depan bagi keputusan di akhir kes pendakwaan sama ada membebaskan Siti Bainun atau memerintahkan tertuduh membela diri.

“Dengan berakhirnya keterangan saksi pendakwaan ke-22, pihak pendakwaan menutup kes hari ini,” katanya.

Beliau dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias.

(FOTO BERNAMA)

Pihak Pendakwaan turut menawarkan 15 saksi kepada pembelaan antaranya bekas penghuni Rumah Bonda dan rakan Siti Bainun sekiranya tertuduh diperintah membela diri.

Pada prosiding hari ini, Siti Bainun diwakili peguam Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan dan Nur Ellena Mohamed Razif

Turut hadir Datuk Khairul Anwar Rahmat yang dilantik oleh Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku peguam pemerhati.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan media, barisan peguam pemerhati hari ini merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kelancaran perbicaraan kes tersebut.

“Kami mempunyai kepercayaan penuh terhadap prosiding mahkamah dan berharap keadilan akan dapat ditegakkan buat anakanda Bella pada akhir kes ini dan kejadian yang menimpa Bella ini tidak boleh dibenarkan berlaku lagi dalam masyarakat kita,” menurut kenyataan itu.

Media Baharu