fb fb fb fb fb

Pemvaksinan papilloma HPV berupaya cegah kanser serviks

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

IPOH, 28 Februari - Malaysia berupaya menoktahkan kanser serviks melalui pemvaksinan papilloma human genital (HPV) kepada semua wanita dan remaja perempuan tidak kira bangsa, agama atau warna kulit.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia dapat dilihat melalui program HPV 'Leaving No One Behind' Peringkat Kebangsaan yang sedang dijalankan di seluruh negara.

Katanya, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) menyasarkan 300,000 pemvaksinan yang melibatkan kos pentadbiran yang diperlukan RM9 juta bagi kelancaran program.

"Jadi kalau kita hendak membangunkan sebuah negara MADANI, kerjasama rapat daripada semua pihak amatlah dititikberatkan dan semua industri dalam negara ini berupaya untuk menyumbang tenaga menoktahkan kanser ini. Sama-sama kita usahakan," kata Wan Azizah dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Program Vaksinasi HPV 'Leaving No One Behind' Peringkat Kebangsaan di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun, di sini.

Setakat ini jelasnya, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dengan 16 syarikat ahlinya secara kolektif telah memberi sumbangan sebanyak RM3 juta kepada program tersebut.

Sementara itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan melancarkan program itu yang dianjurkan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) itu.

Kira-kira 500 wanita dan remaja perempuan berusia 13 hingga 20 tahun menerima suntikan vaksin human genital (HPV) secara percuma di kawasan parlimen Tambun itu.

Program vaksinasi HPV percuma itu sedang dijalankan di seluruh negara dan dijayakan dengan kerjasama Ahli Parlimen, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Ia merupakan usaha mengenal pasti wanita dan remaja perempuan daripada kumpulan kurang kemampuan dan kurang upaya yang masih belum dilindungi vaksin HPV di setiap kawasan.

Raja Permaisuri Perak turut berkenan menyampaikan anugerah penghargaan kepada para penaja dan NGO yang membantu menjayakan program vaksinasi itu.

TETITIA YUSOFF