fb fb fb fb fb

Pemeriksaan kastam KLIA Terminal 1 dipusatkan di pintu pelepasan mulai 1 Januari 2026

Foto arkib BERNAMA

PUTRAJAYA, 31 Disember -Pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terhadap pengembara yang berlepas ke luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 akan disatukan di pintu-pintu pelepasan bermula 1 Januari 2026.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, langkah itu bertujuan melancarkan aliran pergerakan penumpang serta mengurangkan kesesakan dan masa menunggu di zon pelepasan.

"Ketika ini, JKDM menjalankan pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas Departure Screening di zon berlepas selepas Imigresen. Susun atur itu berpotensi menyebabkan kesesakan pada waktu puncak perjalanan.

Penempatan semula pemeriksaan kastam akan membolehkan penumpang melalui proses yang lebih lancar sebelum menaiki pesawat," menurut kenyataan kementerian itu.

Usaha itu dilaksanakan melalui kerjasama MOT, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), JKDM dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

MOT turut menegaskan langkah berkenaan tidak menjejaskan tahap keselamatan atau penguatkuasaan kastam, sebaliknya pemeriksaan penumpang dan barangan akan terus diperkukuh.

Sebarang cubaan membawa keluar barangan yang melanggar undang-undang tetap akan dikenakan tindakan tegas.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN