Pembenihan awan di Sarawak tertakluk kesesuaian awan

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 2 September – Pelaksanaan operasi pembenihan awan di Sarawak masih tertakluk kepada keadaan dan pergerakan awan yang sesuai bagi memastikan berlakunya hujan di kawasan yang diperlukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • MetMalaysia sedang menilai kelompok awan bersesuaian sebelum sebarang operasi pembenihan dilaksanakan.
  • Beberapa kelompok awan didapati tidak sesuai kerana pergerakan angin menyebabkan awan bergerak ke Laut China Selatan.
  • Kerajaan akan terus memantau dan membuat keputusan berdasarkan penilaian MetMalaysia serta perkembangan cuaca di Sarawak.

Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, perkara itu dimaklumkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang menilai kelompok awan yang bersesuaian sebelum sebarang operasi pembenihan dapat dilaksanakan.

“Beberapa kelompok awan yang dikesan sebelum ini didapati tidak sesuai untuk operasi berkenaan.

“Ini kerana pergerakan angin menyebabkan kelompok awan terbabit bergerak ke arah Laut China Selatan,” katanya ketika sidang media mingguan, disini pada Rabu.

Tambah Datuk Seri Fahmi, sekiranya pembenihan dilakukan dalam keadaan sedemikian, hujan yang terhasil tidak akan turun di kawasan yang memerlukannya.

Sehubungan itu, sebarang keputusan berhubung pelaksanaan operasi pembenihan awan bergantung kepada pandangan dan penilaian MetMalaysia berdasarkan keadaan cuaca semasa.

Kerajaan akan terus memantau situasi berkenaan dengan mengambil langkah yang bersesuaian berdasarkan perkembangan cuaca serta keperluan di Sarawak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.