
KUALA LUMPUR, 2 September – UDA Holdings Berhad (UDA) terus memperkukuh pemilikan hartanah khususnya rumah kediaman dalam kalangan bumiputera selain berperanan mencorak dan memodenkan bandar-bandar utama di Malaysia.
- UDA mendukung pemerkasaan sosioekonomi bumiputera melalui empat perniagaan teras seperti pembangunan, pelaburan, pengurusan harta, hospitaliti dan fasiliti.
- Rumah bukan sekadar hartanah; ia memenuhi keperluan, menyokong kehidupan keluarga dan mencipta nilai masa hadapan.
- Pelancaran kempen nasional "Bonanza Memenuhi Impian 2026" sehingga 31 Disember; melibatkan 21 pembangunan dan ganjaran termasuk Proton e.MAS 5.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UDA Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata, agensi itu mendukung pemerkasaan sosioekonomi bumiputera menerusi empat perniagaan teras.
Ia merangkumi pembangunan hartanah, pelaburan dan pengurusan harta termasuk pengurusan pusat membeli-belah, hospitaliti dan pengurusan fasiliti.
“Kami (UDA) melihat rumah bukan sekadar hartanah untuk dimiliki. Rumah adalah tentang menyediakan kediaman yang memenuhi keperluan, menyokong kehidupan keluarga dan mencipta nilai untuk masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Pemilikan Rumah Berskala Nasional ” Bonanza Memenuhi Impian 2026″ yang disempurnakan Pengerusi UDA Holdings, Tan Sri Mohd Annuar Zaini di sini, hari ini.
“Kempen yang berlangsung sehingga 31 Disember ini merupakan salah satu inisiatif UDA dalam menyokong aspirasi pemilikan hartanah negara selaras dengan usaha membangunkan komuniti yang inklusif dan mampan,” jelasnya lagi.
Dengan melibatkan 21 pembangunan kediaman dan komersial di seluruh Malaysia, kempen berkenaan menawarkan pelbagai ganjaran menarik termasuk sebuah Proton e.MAS 5 kepada pembeli hartanah yang layak khususnya bagi Cabutan Ulang Tahun Ke-55 UDA .