fb fb fb fb fb

Pembangunan Sarawak, kerjasama Kerajaan Persekutuan dan negeri penting - TPM

Foto Zahid Hamidi

BELAGA, 1 Julai- Kerjasama baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri harus dipertahan demi kelangsungan pembangunan luar bandar Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata ia bukan hanya terikat kepada tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 sebaliknya menjadi tanggungjawab kedua-dua pihak untuk memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar.

"Apa yang penting di sini ialah bukan soal pengumuman, bukan soal permintaan, tetapi soal komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membantu masyarakat dan penduduk di desa, di kawasan luar bandar khususnya Sarawak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Brain Mering, Punan Ba di sini.

Pada majlis tersebut, beliau mengumumkan peruntukan RM4.2 juta bagi penggantian bateri solar hibrid di Punan Ba.

Sebanyak RM62 juta juga diagihkan untuk penyambungan grid nasional bekalan elektrik luar bandar di kawasan Belaga, selain cadangan pembinaan Loji Rawatan Air Belaga akan dimasukkan dalam Belanjawan 2025 dengan anggaran kos RM21.6 juta.

Kerajaan juga akan meneliti cadangan pembinaan jalan utama sejauh 20 kilometer dari Bintulu ke Punan Ba.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan Projek Bekalan Solar Hibrid Punan Ba bernilai RM20.3 juta.

Ia menyediakan bekalan elektrik 24 jam kepada kampung-kampung dan sekolah di sekitar kawasan Punan Ba.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM