
KOTA SAMARAHAN, 22 Ogos – Agenda pembangunan luar bandar tidak hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur, malah merangkumi pembangunan komuniti serta peningkatan kesejahteraan hidup penduduk.
- Sinergi agensi KKDW memperkukuh program ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan pembangunan modal insan bagi membantu komuniti luar bandar.
- RISDA menerapkan teknologi baharu dalam sektor getah untuk meningkatkan hasil dan pendapatan pekebun kecil.
- Program GEMA serta inisiatif KEMAS seperti kelas dan tadika autisme memastikan bantuan dan perkhidmatan sampai kepada golongan sasar.
Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata sinergi peranan agensi di bawah kementerian itu memainkan peranan besar dalam membantu masyarakat menerusi program ekonomi, keusahawanan, pendidikan, dan modal insan.
Sebagai contoh katanya, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) ketika ini giat menerapkan pendekatan berorientasikan keperluan rakyat menerusi penguasaan teknologi baharu dalam sektor getah bagi membantu melonjakkan hasil sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil luar bandar.
“Kita turut mengetengahkan maklumat mengenai program di bawah KEMAS. Baru-baru ini, kami telah melancarkan kelas dan tadika autisme bagi membantu masyarakat luar bandar yang kurang berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas swasta yang kosnya agak mahal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA) di Laman Samarahan, di sini.
Datuk Rubiah berkata program GEMA yang kini berlangsung selama tiga hari bermula 21 Ogos itu terus menjadi platform utama kementerian dalam menyantuni serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan sampai secara terus kepada kumpulan sasar di luar bandar.
Tambah beliau, pendekatan jelajah GEMA ini akan diteruskan ke beberapa kawasan luar bandar lain termasuk di daerah Lawas serta beberapa kawasan Parlimen terpilih di Sarawak menerusi kerjasama strategik bersama agensi kerajaan negeri.