
KUALA LUMPUR, 3 September – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima menghadap Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di Kelab Polo Diraja Johor (RJPC), Istana Pasir Pelangi, di sini, hari ini.
- Sesi mengadap itu berlangsung bersempena Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026.
- JSCPT ialah cetusan ilham Tunku Mahkota Ismail bersama ikon polo Polito Pieres untuk menjadikan Johor destinasi polo antarabangsa.
- Penganjuran sulung bertemakan "Legacy In Motion" mengetengahkan warisan Diraja dan memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan sukan.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Tunku Mahkota Ismail, sesi menghadap itu berlangsung bersempena Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
JSCPT 2026 merupakan cetusan ilham Tunku Mahkota Ismail bersama ikon polo dunia, Polito Pieres, dengan matlamat menjadikan Johor sebagai antara destinasi utama dalam litar polo antarabangsa.
Penganjuran sulung bertemakan “Legacy In Motion” itu mengetengahkan warisan Diraja Johor menerusi sukan bertaraf antarabangsa, selain memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf dunia.
Kejohanan yang berlangsung sehingga 6 September ini menghimpunkan barisan pemain polo antarabangsa, antaranya Pablo Pieres, Nachi Du Plessis dan Juan Martín Nero.