Jerebu: 35 OPA dilaksanakan dari Februari hingga Jun tahun ini

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 September – 35 Operasi Pembenihan Awan (OPA) berjaya dilaksanakan antara 11 Februari hingga 21 Jun lalu di kawasan sasaran dan tadahan khususnya bagi membantu meningkatkan paras air empangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi dilakukan untuk menghadapi cuaca kering, kekurangan hujan serta risiko kemerosotan kualiti udara.
  • Negeri terlibat termasuk Perlis, Kedah, Perak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah.
  • 90 peratus operasi berjaya menghasilkan hujan dan membantu meningkatkan paras air empangan yang disasarkan.
  • Pelaksanaan turut mendapat kerjasama NADMA, METMalaysia dan TUDM menerusi penggunaan pesawat Hercules C-130 TUDM M30-07.

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), tindakan tersebut digerakkan sebagai langkah awal menghadapi keadaan cuaca kering, kekurangan hujan serta risiko kemerosotan kualiti udara.

Antara negeri yang terlibat sepanjang pelaksanaan operasi tersebut ialah Perlis, Kedah, Perak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah.

Daripada operasi yang dijalankan, 90 peratus berjaya menghasilkan hujan sekali gus membantu meningkatkan paras air di kebanyakan empangan yang disasarkan.

“Pelaksanaan OPA turut mendapat kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi penggunaan pesawat Hercules C-130 TUDM M30-07.

“Kerajaan akan terus mempertimbangkan pelaksanaan OPA berdasarkan keperluan dan kesesuaian keadaan atmosfera, sebagai langkah mitigasi menghadapi fenomena El Nino,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu NRES turut mempertimbangkan pelaksanaan OPA sebagai langkah sokongan bagi menangani keadaan jerebu, tertakluk kepada kewujudan awan sesuai dan keadaan atmosfera serta mengambil kira Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan tahap kualiti udara semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.