Kerajaan MADANI komited perkasa masyarakat India

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 3 September – Kerajaan MADANI komited memastikan masyarakat India tidak dipinggirkan, termasuk memperluas akses pembiayaan, memperkukuh pendidikan dan keusahawanan serta meningkatkan penyampaian bantuan kepada komuniti berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengadakan siri libat urus bersama pimpinan masyarakat India untuk menilai pelaksanaan agenda dan mendengar pandangan serta keresahan komuniti.
  • Memperluas akses pembiayaan usahawan, memperkukuh peranan MITRA dan memperkasa latihan keusahawanan serta TVET.
  • Memperkemas penyampaian bantuan melalui sinergi kementerian supaya isu kemiskinan, kewarganegaraan dan akses bantuan ditangani segera dan berkesan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi siri libat urus bersama pimpinan masyarakat India bagi meneliti kemajuan pelaksanaan agenda Kerajaan MADANI, selain mendengar pandangan dan keresahan yang masih dihadapi komuniti berkenaan.

“Pelbagai inisiatif telah digerakkan meliputi bidang pendidikan, keusahawanan, pembiayaan mikro, kebajikan dan bantuan tunai bagi meringankan beban keluarga serta meningkatkan taraf hidup.

“Kerajaan juga akan terus memperluas akses pembiayaan kepada usahawan, memperkukuh peranan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), selain memperkasa latihan keusahawanan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Pada masa sama, lebih banyak ruang pembangunan belia akan dibuka menerusi program mentor-mentee,” menurut hantaran Datuk Seri Anwar di laman Facebook.

Perdana Menteri turut menegaskan, segala kelompongan yang masih wujud termasuk berkaitan kemiskinan, kewarganegaraan dan akses kepada bantuan perlu ditangani segera dan berkesan.

“Kesemua kementerian dan agensi berkaitan digesa memperkukuh sinergi serta memperkemas penyampaian bagi memastikan setiap peruntukan dan dasar yang dilaksanakan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran.

“Langkah itu penting supaya usaha Kerajaan MADANI bukan sekadar pada dasar dan peruntukan, sebaliknya membawa perubahan nyata kepada kehidupan rakyat, termasuk masyarakat India,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.