fb fb fb fb fb

Peluang kerja 1.1 juta tetapi tidak diisi

Foto arkib / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 November -Sebanyak 1.1 juta kekosongan pekerjaan diiklankan dalam portal MYFutureJobs dari Januari hingga 30 September 2025, namun kadar pengisian jawatan kekal rendah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu menunjukkan wujud ketidaksepadanan antara jumlah kekosongan dan penyertaan pencari kerja.

Jelas beliau, situasi itu berlaku walaupun platform pencarian kerja telah dipermudah melalui ekosistem digital.

"Mengikut pengalaman saya sendiri mengikuti beberapa program MYFutureJobs, kekosongan memang banyak tetapi kehadiran pencari kerja masih rendah.

Kalau dahulu kita mencari kerja melalui surat khabar, tetapi dalam zaman digital ini prosesnya jauh lebih mudah," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan
Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid, berhubung peranan Dasar Gaji Progresif (DGP) dalam membuka peluang pekerjaan.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Abdul Rahman menjelaskan, DGP melengkapi ekosistem pasaran kerja termasuk peningkatan pendapatan dan penawaran jawatan berkualiti.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, beliau memaklumkan, terdapat 108,826 kekosongan aktif direkodkan dalam MYFutureJobs bagi tempoh Januari hingga 14 November, berbanding 464,534 pencari kerja aktif.

"Pada 2024, sebanyak 1.5 juta kekosongan jawatan diiklankan.

Manakala bagi 2025, sebanyak 247,889 jawatan menawarkan gaji RM3,000 ke atas, berbanding 339,916 jawatan pada 2024," katanya.

Mengikut pecahan sektor, Maklumat dan Komunikasi mencatat kekosongan jawatan tertinggi tahun ini (55,269), diikuti Perkhidmatan Pentadbiran & Sokongan (34,391), Pembuatan (33,866), Profesional, Saintifik & Teknikal (24,849), serta Kewangan dan Insurans (21,459).

Dalam pada itu, Datuk Seri Abdul Rahman, turut memberi maklum balas terhadap kebimbangan Azli Yusof berhubung fenomena 'job hopping' akibat tawaran gaji tinggi.

"Kita hendak upskilling dan reskilling mereka yang sedia ada, supaya pendapatan boleh meningkat dan peluang pekerjaan menjadi lebih luas daripada kebiasaan," ujarnya.

Beliau menambah, kerjasama antara TalentCorp, HRD Corp serta penyelarasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersama industri membantu memberi kelebihan kepada tenaga kerja tempatan untuk mengisi jawatan bergaji kompetitif.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN