
KUALA PERLIS, 14 Jun – Pelbagai pihak tampil menyalurkan pelbagai sumbangan bagi meringankan beban ditanggung keluarga yang terjejas, susulan kejadian kebakaran yang melibatkan lapan buah rumah di Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis awal pagi semalam.
- UMNO Bahagian Kangar menyalurkan barangan keperluan asas, wang tunai dan makanan kepada penduduk terjejas yang ditempatkan sementara.
- Ketua UMNO Bahagian Datuk Dr Fathul Bari memastikan bantuan sewajarnya dan memberi sokongan moral kepada semua yang terlibat.
- Jabatan Kebajikan Masyarakat menjalankan penilaian lanjut untuk menyalurkan bantuan pemulihan yang bersesuaian.
- Kes dirujuk kepada MAIPs untuk bantuan susulan, dan pimpinan UMNO negeri turut menziarahi keluarga terjejas.
Antara yang tampil membantu ialah UMNO Bahagian Kangar yang menyalurkan barangan keperluan asas, wang tunai serta keperluan makanan kepada setiap penduduk terjejas yang kini ditempatkan sementara di inap desa serta rumah saudara mara.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, pihaknya akan memastikan bantuan sewajarnya diberikan kepada penduduk terjejas bagi meringankan beban serta sebagai sokongan moral kepada semua yang terlibat.
“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang melaksanakan penilaian lanjut bagi menyalurkan bantuan pemulihan yang bersesuaian dan kes dirujuk kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk bantuan susulan.
“Kesemua ahli keluarga yang terjejas didoakan agar dipermudahkan segala urusan dan tabah menghadapi dugaan ini dan diberi kekuatan serta redha dengan ketentuan Allah Subhanahu wa ta’ala”, katanya.
Beliau memaklumkan ketika menziarahi keluarga terjejas kebakaran di Kampung Seberang Alor pagi tadi bersama jawatankuasa UMNO Bahagian Kangar serta kepimpinan peringkat cawangan, yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abd Rahman.