KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat wajar dan adil seiring dengan prestasi kerja semasa.
Exco Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Profesor Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata ia wajar dilaksanakan memandangkan kerajaan serius memastikan bahawa mereka yang berkerja keras layak diberikan ganjaran setimpal.
Paling utama, rakyat terus peroleh penyampaian perkhidmatan terbaik daripada kerajaan bagi memastikan sektor perkhidmatan awam berada pada tahap yang terbaik.
"Kalau kita tengok, skim gaji yang lama ia lebih tertumpu kepada kenaikan berdasarkan tempoh kerja, maksudnya kalau lagi lama kita bekerja lagi naik gaji, tidak kisah lah prestasi itu macamana tetapi sekarang ini skim yang baharu ini akan lebih adil.
"Siapa yang buat kerja elok, dia dapat ganjaran lebih dan ini akan membuatkan penjawat awam lebih bersemangat dan bermotivasi untuk meningkatkan mutu kerja masing-masing dimana yang mendapat manfaat akhirnya ialah rakyat," katanya ketika dihubungi RTM.
Dalam masa sama, Dr. Nuradli berkata peranan Ketua Jabatan juga perlu diperkukuh dengan memastikan tiada salah laku dalam kalangan penjawat awam.