fb fb fb fb fb

Pelarasan gaji penjawat awam keputusan munasabah - Menteri Kesihatan

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

SERDANG, 17 Ogos- Pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu keputusan yang munasabah setelah lebih dari 12 tahun tiada kenaikan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelarasan itu tidak hanya berkaitan dengan masa perkhidmatan tetapi juga berdasarkan produktiviti dan prestasi kerja.

Pelarasan berkenaan juga penting untuk mengekalkan pakar-pakar dalam sektor awam supaya mereka tidak berpindah ke sektor swasta.

"Saya mahukan pakar-pakar saya diberikan kenaikan sewajarnya berdasarkan prestasi mereka. Ini adalah sangat mustahak, jadi semua pakar saya tidak lari kepada sektor swasta.

"Jadi ini adalah satu isyarat yang sangat prihatin, peka dan empati Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Thalassaemia Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Dalam fasa pertama, kenaikan gaji ini akan mencapai 12 peratus, dengan kemungkinan peningkatan sehingga 24 peratus bergantung kepada skim perkhidmatan dilaksanakan.

Ia merupakan langkah signifikan yang akan memberi dorongan kepada kakitangan awam untuk terus berkhidmat dengan cemerlang selain untuk memotivasi dan memelihara tenaga kerja, serta memperbaiki kualiti perkhidmatan awam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI