
LABUAN, 16 Januari – Pelan Pembangunan Pendidikan 2026-2035 dan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035, akan dilancarkan serentak minggu depan.
- Pelan 10 tahun menyeluruh dan bersepadu menentukan hala tuju pendidikan negara dari prasekolah hingga ke alam pekerjaan.
- Fokus kepada pembangunan insan, kebolehsaingan dan keselarasan sistem pendidikan dengan perkembangan global dan teknologi.
- Penekanan penguasaan teknologi dan kemahiran digital merentasi semua bidang sebagai persediaan menghadapi ekonomi moden.
Pelancaran julung kali bersama-sama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, pelan tersebut dirangka secara menyeluruh dan bersepadu bagi menentukan hala tuju pendidikan negara dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Ini dalam memastikan kesinambungan pendidikan di setiap peringkat pembelajaran daripada prasekolah hingga ke alam pekerjaan.
Pelan tersebut memberi fokus kepada pembangunan insan, kebolehsaingan dan memastikan sistem pendidikan selaras perkembangan global dan teknologi.
Jelas beliau, dengan menggunakan pendekatan pembelajaran sepanjang hayat, pelan tersebut dirangka bagi memastikan murid dan pelajar tidak hilang hala tuju apabila melangkah ke sekolah rendah dan menengah, seterusnya prauniversiti dan institusi pengajian tinggi (IPT).
“Kami dua kementerian yang sentiasa berkerjasama dan memberikan maklum balas seperti yang saya katakan tadi, pada akhirnya kita mahu mereka terlibat dalam ekonomi negara, sekali gus mencapai negara maju dengan nilai matawang negara terus kukuh, pertumbuhan ekonomi bertambah baik dan kita mengambil peluang ini untuk kita mantapkan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan BAP kepada murid sekolah rendah dan menengah di sini, hari ini.
Menurutnya, pelan bersepadu itu memberi penekanan kepada penguasaan teknologi dan kemahiran digital merentasi semua bidang, termasuk pendidikan Islam, sukan dan latihan kemahiran, sebagai persediaan menghadapi ekonomi moden.