fb fb fb fb fb

Pelajar UPM kendali semula Pesta Konvokesyen, berlangsung 25 -30 November ini

Kali ini para pelajar turut menguruskan program serta penjualan produk pertanian anak pokok, ternakan dan Klinik Pertanian Putra.

SERDANG, 22 November- Pesta Konvokesyen dan Ekspo Pertanian (PESKON) bakal dianjurkan pada 25 sehingga 30 November ini yang dikendalikan semula oleh pelajar sempena Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-47.

Pengarah PESKON ke-47 UPM, Nurmaisarah Nordin berkata kali terakhir PESKON dikendalikan oleh pelajar ialah pada tahun 2000.

Kali ini para pelajar turut menguruskan program serta penjualan produk pertanian anak pokok, ternakan dan Klinik Pertanian Putra.

“Pada tahun ini PESKON ke-47 membuat kelainan bagi program dan penjualan produk pertanian yang dikendalikan oleh pelajar UPM. Apa yang penting ruang dan peluang yang sewajarnya diberikan kepada para pelajar bermula dari awal mereka menjejakkan kaki di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan perlu merebut peluang yang diberikan kerana selain segulung ijazah, nilai tambah ini penting di zaman keruncingan ekonomi dan ledakan dunia teknologi tanpa sempadan,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan para pelajar pada PESKON, daripada latar belakang bidang yang berbeza dapat mempelajari ilmu pertanian hasil pameran pertanian, aktiviti pengajaran dan jualan hasil pertanian UPM.

"Penglibatan pelajar untuk PESKON seiring dengan agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberikan autonomi kepada mahasiswa untuk menjana pendapatan melalui pengurusan aktiviti yang bermanfaat kepada pelajar,” katanya.

Tambahnya, pameran aktiviti pengajaran dan penyelidikan entiti UPM mempamerkan maklumat terkini program akademik serta perkembangan terbaharu teknologi pertanian.

Jualan hasil pertanian UPM merangkumi pelbagai buah-buahan dan sayuran kegemaran ramai seperti buah durian, sun melon, nenas MD2, cili, terung mini, dan cendawan.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik pada PESKON ke-47, antaranya Gema Seni Dikir Barat, Festival Nasyid Interkolej Kali ke-14, pertandingan Koir Interkolej, Green Drama Musical, e-Sport Challenge: Mobile Legend Bang Bang dan Kejohanan Terbuka Futsal Pesta Konvo.

Menariknya, pertandingan UPM PESKON Paintball 2023 turut dianjurkan dan mendapat penyertaan daripada lapan pasukan negara jiran seperti Thailand, Myanmar, Brunei.

ZEHRA BINTI ZAMBRI