KUALA LUMPUR, 5 April – Seramai 24 mahasiswa dari Jabatan Syariah dan Pengurusan, Universiti Malaya (UM) ke komuniti pedalaman di Pitas dan Ranau, Sabah untuk mendekati hampir 300 orang penduduk mualaf, etnik Bajau dan Dusun sekali gus menjayakan program ‘Mahabbah Care4Ummah 5.0’. Program khidmat bakti yang diadakan baru-baru ini, bertujuan untuk membentuk insan berperikemanusiaan dan peduli dengan masyarakat sekeliling sama ada kalangan peserta mahupun penduduk kampung.
“Idea untuk menganjurkan program ini muncul setelah mendengar taklimat dari pertubuhan Care4Asnaf yang dijemput oleh pensyarah subjek Keusahawanan Islam, Dr. Mohd Abd Wahab Fatoni Mohd Balwi. Apabila diberi peluang untuk bekerjasama bersama Care4Asnaf dalam menjayakan misi kemanusiaan di Sabah, kami tidak melepaskannya kerana melihatnya sebagai satu peluang baik dalam pembinaan jati diri kami sebagai graduan yang akan menyertai masyarakat kelak,” kata Amir Haidar Abdul Samad, selaku pengarah program.
Selain pihak Care4Asnaf sebagai rakan kerjasama strategik, program turut dijayakan bersama Little Caliph International Sdn. Bhd., dan Universiti Malaysia Sabah Four Wheel Drive Volunteer Club(UMS 4WDVC), yang membantu aspek logistik dan pengangkutan.
“Program ini bukan sahaja bertujuan untuk menyampaikan dakwah kepada komuniti mualaf dan asnaf yang memerlukan di kawasan pedalaman yang terpilih, tetapi turut menitikberatkan aspek perkongsian ilmu dan bakti kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Bengkel Pengurusan Jenazah disampaikan oleh Fasilitator Saudari Suryani/Foto UM
Melalui pelbagai aktiviti seperti bengkel solat, pengurusan jenazah, tilawah Al Quran, pengagihan bantuan makanan serta bantuan Back to School, kami berpeluang menyelami kehidupan komuniti pedalaman yang menghadapi pelbagai cabaran dan kesukaran, terutamanya sebagai seorang yang baru sahaja menjalani kehidupan sebagai seorang muslim,” terang Amir Haidar lagi.
Menariknya, program sebegini yang selalunya memberi manfaat secara langsung kepada penerima bantuan, secara tidak langsung turut memberi manfaat berguna kepada para sukarelawan terlibat.
“Paling asas, mereka telah belajar erti bersyukur, apabila melihat keadaan komuniti yang memiliki serba kekurangan berbanding mereka yang sedang menuntut di menara gading di ibu kota.
“Melalui aktiviti-aktiviti seperti menjenguk asnaf, perkhemahan di tepi sungai, mengadakan tazkirah, serta pengagihan bantuan makanan, mereka telah dibimbing untuk menjadi individu yang prihatin, peka, dan bertanggungjawab,” kata Nawawi Reza Mohd Daud, wakil Care4Asnaf yang bertindak sebagai penyelaras program.
“Untuk masuk ke kampung ini kami perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui jalan tidak berturap hampir tiga jam. Penduduk kampung ini masih menggunakan air sungai sebagai sumber air utama, serta hanya menggunakan generator untuk kegunaan elektrik.
“Uniknya kampung ini memiliki begitu ramai keluarga mualaf, dan mereka emua teruja menerima kehadiran kami, kongsi salah seorang peserta Amir Haidar mengimbau kenangan ketika menjalankan program di Kampung Linapasan di Ranau, yang terletak di kaki Gunung Kinabalu.