fb fb fb fb fb

Pelaburan Microsoft, petunjuk positif pertumbuhan ekonomi negara - Pakar

Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid

KUALA LUMPUR, 4 Mei- Pengumuman pelaburan terbaharu Microsoft Corporation di Malaysia, merupakan satu petunjuk positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata situasi itu sekali gus meletakkan imej Malaysia sebagai negara yang mesra pelabur, apabila syarikat multinasional gergasi itu mengekalkan operasinya di negara bagi tempoh jangka masa panjang.

"Ini bukan sesuatu yang mudah dicapai, kerana situasi ekonomi global yang tidak menentu serta persaingan yang begitu hebat dengan negara-negara serantau. Kesemua negara turut berlumba-lumba untuk menarik pelabur asing."

"Sebagai pemain industri utama dunia, pastinya Microsoft mempunyai pengaruh dalam rantaian bekalan nilai itu sendiri. Pasti akan menarik minat lebih banyak syarikat untuk melihat, mengkaji untuk membesarkan lagi operasi mereka di Malaysia selepas ini," kata Dr. Aimi kepada pemberita RTM dalam satu temu bual khas secara maya, hari ini.

Terdahulu, Microsoft mengumumkan untuk melabur AS$2.2 bilion (RM10.48 bilion) dalam kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan infrastruktur awan di Malaysia, untuk tempoh empat tahun akan datang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM