
PUTRAJAYA, 16 Januari – Pendekatan pelaburan berbalik (‘reverse investment’) akan menjadi teras utama hala tuju Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi tahun 2026 sebagai langkah strategik untuk melindungi dan menjamin bekalan komoditi makanan kritikal negara.
- Pelaburan berbalik akan jadi teras KPKM 2026 untuk lindungi bekalan komoditi makanan kritikal negara.
- Inisiatif berfungsi sebagai penampan strategik, bukan menggantikan petani tempatan semasa kejutan rantaian bekalan.
- Penglibatan GLC dan GLIC diperlukan bagi membina pegangan nasional dan memperkukuh kedaulatan makanan jangka panjang.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pendekatan itu perlu dilaksanakan memandangkan landskap global yang semakin kompleks, tidak menentu dan dipengaruhi percaturan geopolitik yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan makanan.
“Dalam konteks ini, kerajaan tidak lagi boleh bergerak secara reaktif dan bersifat jangka pendek.
“Langkah mitigasi yang strategik dan berpaksikan kepentingan nasional perlu dilaksanakan,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu KPKM 2026 di sini.
Sehubungan itu, beliau berkata KPKM akan menerajui pendekatan ‘reverse investment’ bagi membina pegangan nasional dalam rantaian bekalan makanan kritikal negara.
”Reverse investment’ bukan bertujuan menggantikan petani tempatan, sebaliknya berfungsi sebagai ‘strategic buffer’ bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan ketika berlakunya kejutan luar jangka,” katanya lagi.
Dalam hal itu, Datuk Seri Mohamad berkata KPKM mengalu-alukan penyertaan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) sebagai rakan strategik.
“Penglibatan GLC dan GLIC amat penting bagi membina pegangan nasional dalam rantaian bekalan kritikal serta memperkukuh kedaulatan makanan negara dalam jangka panjang,” katanya.