BALING, 19 Februari - Seorang pekerja am maut dilanggar sebuah kereta setelah motosikal yang ditungganginya terbabas akibat bergesel dengan sebuah kenderaan lain di Simpang Tiga Kuala Pegang Jalan Kulim-Baling Gerik.
Ketua Polis Daerah Baling Supritendan Shamsudin Mamat berkata wanita terbabit yang sedang dalam perjalanan dari rumahnya ke tempat kerja di Sekolah Kebangsaan Kuala Pegang, maut serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Menerusi kenyataan, Shamsudin berkata kejadian membabit dua buah kereta dan sebuah motosikal itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7.27 pagi tadi.
Berdasarkan siasatan awal mangsa, 39 tahun dipercayai mengubah haluan secara tiba tiba ke sebelah kanan dan pemandu kereta yang berada belakang tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan motosikal mangsa.
Akibat insiden itu, mangsa dari Kampung Carok Gorok, Jalan Lata Bayu terjatuh di laluan arah Kulim sebelum dilanggar sebuah lagi kenderaan yang datang dari arah yang sama.
Mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Kes disiasat menurut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.