KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia(PDAM) menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kemudahan di stesen minyak terus dipertingkatkan untuk manfaat orang ramai.
PDAM menganggap saranan tersebut sebagai cabaran positif untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.
Menurut Setiausaha Agung PDAM, Bashir Ab Razak, ketika ini pihak stesen minyak memberi fokus terhadap kemudahan sedia ada bagi keselesaan pengguna.
"Sebenarnya SOP di setiap stesen mewajibkan mereka untuk memeriksa tandas sekurang kurangnya setiap 1 jam. Dalam pemeriksaan ini, ia termasuk pembersihan dan penambahan bahan termasuk sabun dan tisu.
"Pada pendapat kami, memandangkan setiap syarikat minyak memiliki standard yang berbeza dalam penjagaan tandas dan surau, kami melihat usaha atau inisiatif ke arah matlamat ini sebaiknya diteruskan di peringkat syarikat minyak", katanya kepada RTM.
Tambahnya, atas saranan itu, pihaknya turut mengingatkan para ahlinya dalam memastikan kebersihan dan keselesaan kemudahan premis sentiasa di tahap yang terbaik.
Beliau juga memuji tindakan Perdana Menteri yang mengadakan lawatan mengejut untuk melihat sendiri kemudahan di stesen minyak. Ia perlu diteruskan untuk memastikan kemudahan berkenaan sentiasa pada tahap terbaik demi keselesaan pengguna.