Pasukan produksi Salam Baitullah RTM selamat tiba di tanah air

Penerbit Salam Baitullah, Mohd Rafael Ramlan (dua dari kanan) dan wartawan RTM, Muhammad Ameerul Hafiz Mohd Rosli (dua dari kiri) bersama dua jurukamera, baru tiba dari Tanah Suci / Foto RTM

SEPANG, 8 Jun – Pasukan produksi program Salam Baitullah Radio Televisyen Malaysia (RTM) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada jam 4 petang tadi selepas hampir 60 hari melaksanakan tugasan liputan musim haji 1447H di Tanah Suci, Mekah dan Madinah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tamatnya operasi Salam Baitullah edisi ke-18 memaparkan laporan, siaran langsung dan kisah jemaah.
  • Penerbit kata tugasan berjalan lancar walaupun berdepan beberapa isu kecil dan mendapat bahan luar jangkaan bernilai tambah.
  • Sebanyak 16 episod disiapkan mengikut jadual oleh pasukan kecil empat orang di Mekah dan Madinah.
  • Wartawan kongsi pengalaman menyentuh hati, menonjolkan ketabahan jemaah, berharap laporan memberi manfaat dan penghayatan kepada penonton.

Kepulangan pasukan berkenaan menandakan berakhirnya operasi Salam Baitullah edisi ke-18 yang memaparkan pelbagai laporan, siaran langsung serta kisah jemaah haji Malaysia sepanjang musim haji tahun ini.

Penerbit program, Mohd Rafael Ramlan berkata, keseluruhan tugasan berjalan lancar seperti dirancang walaupun berdepan beberapa isu kecil sepanjang tempoh liputan di Arab Saudi.

“Alhamdulillah, sepanjang hampir 60 hari di Tanah Suci, semuanya berjalan seperti dirancang. Memang ada beberapa isu dan cabaran kecil, namun berjaya diselesaikan dengan baik.

Selain apa yang dirancang, kami turut memperoleh banyak bahan di luar jangkaan yang memberi nilai tambah kepada keseluruhan pelaporan Salam Baitullah,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 16 episod Salam Baitullah berjaya disiapkan mengikut jadual dengan pelaksanaan tugasan oleh pasukan kecil seramai empat orang di Mekah dan Madinah.

Sementara itu, wartawan RTM, Muhammad Ameerul Hafiz Mohd Rosli berkata, pengalaman melaksanakan liputan di Tanah Suci memberi kesan mendalam, khususnya ketika berdepan kisah jemaah yang diuji dengan masalah kesihatan dan cabaran fizikal.

“Antara yang paling memberi kesan ialah ketika menemubual seorang jemaah yang mengalami masalah kesihatan dan penglihatan. Ketika itu bukan sahaja saya, malah kru di lokasi dan penonton yang mengikuti siaran turut tersentuh,” katanya.

Beliau berkata pengalaman berkenaan bukan sekadar tugasan kewartawanan, sebaliknya menjadi ruang untuk menyaksikan sendiri ketabahan dan pengorbanan jemaah haji Malaysia.

Katanya, beliau berharap setiap laporan yang disiarkan menerusi Salam Baitullah dapat memberi manfaat serta penghayatan kepada penonton dan pendengar RTM di seluruh negara.

Salam Baitullah merupakan antara program khas RTM yang menjadi rujukan rakyat Malaysia setiap kali musim haji, dengan fokus kepada liputan perkembangan serta kisah jemaah di Tanah Suci.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.