
BATU BERENDAM, 8 Jun – Perkhidmatan penerbangan dua hala antara Melaka dan Pekan Baru, Indonesia akan beroperasi semula mulai 10 Jun ini sekali gus dijangka memperkukuh hubungan ekonomi dan pelancongan kesihatan antara kedua-dua destinasi.
- Wings Air akan mengendalikan laluan tiga kali seminggu, pada Rabu, Jumaat dan Ahad.
- Pesawat yang digunakan mempunyai kapasiti kira-kira 70 penumpang setiap penerbangan.
- Kerajaan negeri fokus kepada pelancongan kesihatan; BPP akan bekerjasama dengan hospital-hospital swasta untuk mempromosi perkhidmatan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, laluan yang dikendalikan syarikat penerbangan tambang rendah Indonesia, Wings Air itu akan beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada Rabu, Jumaat dan Ahad.
Menurut beliau, pesawat yang digunakan mampu membawa kira-kira 70 penumpang bagi setiap penerbangan.
Katanya, kerajaan negeri memberi tumpuan khusus kepada segmen pelancongan kesihatan menerusi laluan berkenaan memandangkan permintaan yang tinggi daripada pelawat Indonesia untuk mendapatkan rawatan di Melaka.
“Melalui laluan Pekan Baru ini, kita memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelancongan kesihatan. Kerajaan Melaka melalui Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) juga akan bekerjasama dengan hospital-hospital swasta di negeri ini bagi membantu mempromosikan kehadiran pelancong yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Melaka,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, hari ini.
Dalam perkembangan sama, syarikat penerbangan Batik Air turut merancang membuka laluan penerbangan baharu yang menghubungkan Melaka dengan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, tarikh permulaan operasi bagi laluan tersebut akan diumumkan kemudian.