RTM Perlis terima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan

Jabatan Penyiaran Perlis terima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan

PUTRAJAYA, 8 Jun – Jabatan Penyiaran Perlis mencipta sejarah apabila menjadi Jabatan Penyiaran Malaysia pertama menerima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anugerah diberikan semasa pelancaran e-PS dan e-Vetting 3.0 anjuran CGSO, Jabatan Perdana Menteri.
  • Pengiktirafan berdasarkan keupayaan pentadbiran dan pengurusan keselamatan, bukan prestasi penyiaran.
  • RTM Perlis memperolehi markah keseluruhan 95 peratus dan penarafan lima bintang oleh inspektorat CGSO.
  • Kejayaan dijangka menjadi penanda aras; RTM Perlis bersedia berkongsi amalan terbaik dan pelan tindakan kepada stesen lain.

Pengiktirafan itu diberikan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan serta Peluncuran Sistem Pengurusan Keselamatan Perlindungan (e-PS) dan Sistem e-Vetting 3.0 anjuran Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Jabatan Perdana Menteri.

Daripada 118 kementerian, jabatan dan agensi persekutuan serta negeri yang dinilai, hanya 50 yang berjaya memperoleh penarafan cemerlang, manakala RTM Perlis muncul sebagai satu-satunya Jabatan Penyiaran Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut.

Pengarah Penyiaran Perlis, Fathil Hidayat Gazali berkata, pencapaian itu merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kerana penilaian dibuat bukan berdasarkan prestasi penyiaran, sebaliknya keupayaan jabatan dalam aspek pentadbiran dan pengurusan keselamatan.

“Ini satu pencapaian luar jangka bagi RTM Perlis kerana kami dinilai bukan atas pencapaian penyiaran, tetapi pencapaian pengurusan pentadbiran keselamatan yang baik.

“Jadi, ini merupakan satu pengiktirafan terhadap sistem pentadbiran serta keupayaan kami mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan diyakini,” katanya.

Beliau berkata, RTM Perlis berjaya memperoleh markah keseluruhan 95 peratus, sekali gus melayakkannya menerima penarafan lima bintang dalam penilaian yang dijalankan oleh pasukan inspektorat CGSO.

Menurut beliau, aspek penilaian Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan terbahagi kepada enam komponen utama iaitu dasar keselamatan perlindungan, keselamatan fizikal, keselamatan rahsia rasmi, rahsia rasmi dalam persekitaran ICT, keselamatan peribadi serta pengurusan kesinambungan perkhidmatan.

“Pencapaian ini merupakan satu pengiktirafan yang cukup tinggi bukan sahaja daripada CGSO tetapi juga kerajaan Malaysia terhadap keupayaan sebuah jabatan persekutuan di peringkat negeri dalam memastikan persekitaran kerja yang kondusif serta memenuhi spesifikasi keselamatan yang telah digariskan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fathil Hidayat berharap kejayaan RTM Perlis dapat menjadi penanda aras kepada stesen dan jabatan penyiaran lain di seluruh negara.

Katanya, pihaknya bersedia berkongsi amalan terbaik serta pelan tindakan yang dilaksanakan bagi membantu meningkatkan keupayaan pengurusan keselamatan dalam rangkaian RTM.

“Kami menjadi penanda aras kepada jabatan-jabatan penyiaran khususnya. Selepas ini, ‘blueprint’ yang kami laksanakan akan dikongsikan supaya keupayaan RTM dapat dipertingkatkan sebagai sebuah organisasi yang benar-benar memenuhi spesifikasi tempat kerja dan sistem yang menepati kehendak pentadbiran, bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga pada masa hadapan,” katanya.

Anugerah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh keselamatan perlindungan negara serta memastikan aset, maklumat dan kerahsiaan rasmi kerajaan sentiasa terpelihara seiring dengan perubahan landskap keselamatan semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.