fb fb fb fb fb

Pakistan zahir simpati, hulur bantuan banjir kepada Malaysia

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif hari ini menyatakan simpati dan solidariti kepada Malaysia atas musibah banjir yang sedang melanda beberapa negeri, dengan lebih 140,000 rakyat terkesan / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 30 November – Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif hari ini menyatakan simpati dan solidariti kepada Malaysia atas musibah banjir yang sedang melanda beberapa negeri, dengan lebih 140,000 rakyat terkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dizahirkan rakan sejawatnya menerusi perbualan telefon mereka petang tadi.

Menerusi perbualan itu, Shehbaz turut mendoakan perlindungan dan kesejahteraan untuk penduduk yang terlibat.

"Sebagai tanda sokongan, beliau (Shehbaz) menyampaikan hasrat untuk menghantar sumbangan bagi meringankan beban rakyat Malaysia yang sedang diuji," kata Anwar menerusi hantaran di laman Facebook.

Anwar mengalu-alukan bantuan tersebut sambil menyatakan penghargaan tertinggi atas keprihatinan dan kemurahan hati Kerajaan Pakistan, yang mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara.

"Saya turut menjemput Perdana Menteri Shehbaz Sharif untuk berkunjung ke Malaysia pada awal tahun depan sebagai tanda persahabatan yang terus kukuh," tambah Anwar.

Menerusi hantaran itu, Anwar turut memaklumkan keutamaan kerajaan kini tertumpu kepada kebajikan dan keselamatan penduduk terjejas banjir, sambil berharap bencana ini akan segera pulih.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN