Ikan hiasan sedang ancam sungai Malaysia

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Ikan asing membiak tanpa kawalan menjadi spesies invasif yang mengancam ikan tempatan dan kepelbagaian sungai.
  • Aktiviti manusia seperti pelepasan, penggunaan umpan hidup dan pembangunan sungai mempercepatkan penyebaran ikan asing.
  • Langkah pencegahan: jangan lepaskan ikan asing, gunakan spesies tempatan sah dan laporkan lambakan kepada Jabatan Perikanan.

Pernahkah anda melepaskan ikan hiasan ke sungai atau tasik kerana sudah tidak mampu menjaganya?

Ramai menganggap tindakan itu sebagai sesuatu yang baik. Hakikatnya, seekor ikan hiasan yang dilepaskan boleh menjadi permulaan kepada kemusnahan ekosistem sungai.

Hari ini, semakin banyak sungai di Malaysia didiami oleh ikan asing seperti ikan bandar raya, peacock bass dan tilapia. Pada asalnya, spesies ini dibawa masuk sebagai ikan hiasan atau untuk industri akuakultur.

Namun apabila terlepas ke habitat semula jadi, sebahagiannya membiak tanpa kawalan sehingga menjadi spesies invasif yang mengancam ikan tempatan.

Perbezaannya mudah. Ikan asing ialah spesies yang berasal dari luar habitat asalnya. Ia hanya dianggap invasif apabila berjaya membiak, menguasai habitat baharu dan menjejaskan spesies tempatan.

Pelbagai kajian oleh penyelidik tempatan menunjukkan bahawa keadaan ini semakin membimbangkan. Kajian di sekitar Lembah Klang mendapati kebanyakan spesies ikan asing yang ditemui mempunyai risiko tinggi untuk menjadi spesies invasif.

Spesies seperti tilapia dan ikan bandaraya mampu hidup dalam sungai yang tercemar, sedangkan banyak ikan tempatan tidak mampu bertahan dalam keadaan yang sama.

Kajian lain di Johor Bahru pula menunjukkan kawasan sungai yang telah dibangunkan dan dipenuhi struktur konkrit kini didominasi ikan asing, manakala ikan tempatan hanya tinggal dalam jumlah yang kecil.

Sebaliknya, kawasan hulu sungai yang masih mempunyai litupan hutan terus menjadi habitat utama ikan tempatan.

Di Terengganu pula, penyelidik mendapati peacock bass yang berasal dari Amerika Selatan bertindak sebagai pemangsa yang sangat agresif. Ikan ini memakan anak-anak ikan tempatan dan menyebabkan kepelbagaian spesies semakin berkurang.

Lebih membimbangkan, teknologi pengesanan DNA dalam air atau eDNA kini mengesahkan kehadiran beberapa lagi spesies asing di Sungai Perak yang sebelum ini sukar dikesan menggunakan kaedah biasa.

Kehadiran ikan invasif bukan sekadar mengurangkan jumlah ikan tempatan. Ia turut memberi kesan kepada manusia. Ikan bandaraya misalnya, menggali lubang pada tebing sungai untuk bertelur, menyebabkan hakisan tebing dan air menjadi keruh.

Nelayan darat pula sering mengalami kerosakan pukat akibat duri keras ikan ini, manakala hasil tangkapan ikan tempatan seperti kelah, lampam, baung, sebarau dan tapah semakin berkurangan.

Masalah ini sebenarnya berpunca daripada aktiviti manusia. Banyak spesies asing dilepaskan ke sungai selepas dipelihara di rumah, digunakan sebagai umpan hidup atau dilepaskan dalam program pelepasan hidupan tanpa mengenal pasti spesiesnya.

Amalan melepaskan hidupan ke dalam sungai atas niat untuk membuat amal (seperti ritual release life) adalah sesuatu yang murni. Namun, ia menjadi satu ‘dosa ekologi’ sekiranya ikan yang dilepaskan itu ialah ikan asing seperti tilapia, atau ikan keli.

Orang ramai boleh memainkan peranan penting untuk menghentikan ancaman ini. Jangan sesekali melepaskan ikan hiasan ke sungai atau tasik walaupun dengan niat yang baik.

Jika tidak lagi mahu memeliharanya, serahkan kepada kedai ikan hiasan atau individu yang mampu menjaganya.

Masyarakat juga perlu lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti pelepasan hidupan. Pastikan hanya spesies tempatan daripada pusat penetasan yang sah digunakan.

Bagi komuniti pemancing, elakkan melepaskan semula spesies ikan asing yang ditangkap dan jangan menggunakan ikan asing sebagai umpan hidup kerana ia boleh mempercepatkan penyebaran spesies tersebut ke kawasan baharu.

Jika terlihat lambakan ikan asing di sungai atau tasik, orang ramai disaran melaporkannya kepada Jabatan Perikanan bagi membolehkan tindakan awal diambil.

Sungai bukan sekadar sumber air atau lokasi rekreasi. Ia ialah habitat kepada ratusan spesies tempatan yang menjadi sebahagian daripada warisan negara.

Jika tiada tindakan diambil hari ini, generasi akan datang mungkin hanya mengenali ikan kelah, temoleh atau sebarau melalui gambar dan buku.

Melindungi sungai tidak semestinya memerlukan kepakaran. Kadangkala, ia bermula dengan satu tindakan mudah iaitu tidak melepaskan ikan hiasan atau ikan asing yang dipelihara ke dalam perairan semula jadi.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Rohasliney Hashim
Pensyarah Kanan
Jabatan Pengurusan Alam Sekitar
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar
Universiti Putra Malaysia
E-mel: rohasliney@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.