KUANTAN, 14 Ogos - Kerajaan Negeri Pahang menawarkan ganjaran sekiranya mana-mana pihak berjaya menangkap ikan patin muncung yang masih hidup dan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Pahang.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, inisiatif itu bagi membolehkan Jabatan Perikanan mendapatkan benih bagi mengelakkan kepupusan populasi ikan terbabit.
"Antara ikan yang masuk dalam kelompok kepupusan ialah patin muncung dan ikan ini amat sukar diperoleh.
"Sebab itu saya seru ahli dewan banyakkan ikan asli di Sungai Tembeling, Sungai Pahang, jika ada ikan patin muncung saya minta supaya serahkan kepada Jabatan Perikanan, kita akan bayar ganjaran.
"Kita mahu induk untuk hasilkan telur-telur untuk dijadikan benih," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.