MARAN, 12 Mac- Kerajaan Pahang sedia meneliti dan mengkaji sebelum meneroka bahan mineral nadir bumi oksida sekali gus membina kilang pemprosesan nadir bumi di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya mengesahkan Pahang antara 10 negeri yang mempunyai unsur nadir bumi Lempung Jerapan Ion (IAC-REE).
Menurutnya, kajian menyeluruh perlu dibuat kerana ia membabitkan kawasan alam sekitar, perhutanan dan sebagainya.
"Kita akan teliti tentang perkara ini, kita ada tapi urusan untuk ini kita harus kaji dan teliti sebab ia melibatkan kawasan hutan simpan dan sebagainya,"katanya.
Tambah beliau, Pahang positif dalam mengusahakan pengeluaran hasil nadir bumi itu sekali gus dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pecah Tanah Skim Tanah Rakyat (STR) Felda Pahang di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 14, Maran.
Baru-baru ini, terdapat laporan media menyatakan terdapat 10 negeri membabitkan 29 kawasan termasuk di Pahang yang mempunyai unsur nadir bumi Lempung Jerapan Ion (IAC-REE) dianggarkan berjumlah 16.1 juta tan metrik dengan nilai pasaran RM810 bilion.
Tambah beliau, penubuhan Akademi Mineral Pahang di Lipis tahun ini antara strategi jangka panjang kerajaan negeri melatih generasi muda dalam bidang berkenaan.