LIPIS, 23 November- Kerajaan Negeri Pahang mengalu-alukan permohonan bagi membuka perkhidmatan perbankan di mana-mana lokasi sesuai khususnya di kawasan pedalaman di negeri itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bagaimanapun berkata permohonan itu akan diteliti terlebih dahulu oleh pihak bank sebelum diluluskan.
"Sekiranya ada keperluan, kita akan pertimbangkan bergantung kepada keperluan dan tadi pun saya telah menyatakan sokongan kuat kepada permohonan daripada ADUN Padang Tengku yang memohon untuk dibuka ATM dan daripada penyelaras DUN Cheka.
"Pihak Agrobank akan mengkaji dan meneliti permohonan ini dan sekiranya bersesuaian mereka akan buka dalam masa terdekat kita kena mohon, kemudian bank akan kaji," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perkhidmatan Agro Point Sungai Koyan di Sungai Koyan, Kuala Lipis Pahang.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd Hafizi Ibrahim.
Menurut beliau, cawangan mini Agrobank yang dibuka di Sungai Koyan ini dapat memberi manfaat kepada 30,000 penduduk sekitar yang mana mereka kini tidak lagi perlu ke bandar Lipis atau Raub bagi urusan perbankan.
Cawangan mini Agrobank tersebut memberi perkhidmatan pembukaan akaun simpanan atau akaun deposit tetap, perkhidmatan melibatkan tunai melalu ATM dan CDM serta khidmat nasihat berkaitan permohonan pembiayaan.