fb fb fb fb fb

P. Prabakaran dilantik Pengerusi MITRA

P. Prabakaran Pengerusi MITRA baharu/Fail Bernama

KUALA LUMPUR, 7 Februari -Ahli Parlimen Batu, Prabakaran Parameswaran dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pelantikan itu adalah bagi menggantikan Dato’ Ramanan Ramakrishnan yang kini menjalankan tugas sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Atas pelantikan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap beliau dapat memastikan MITRA terus menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan sempurna dalam mengangkat darjat dan sosioekonomi masyarakat India.

MITRA merupakan sebuah unit khas bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

Titik permulaan penubuhan pada 2008, apabila kerajaan telah melaksanakan beberapa dasar melalui Jawatankuasa Kabinet (CCIC) untuk meningkatkan penyertaan masyarakat India dalam inisiatif Kerajaan.

Pada tahun 2014, empat unit berasingan telah ditubuhkan untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat India Malaysia, iaitu Pasukan Petugas Pelaksanaan Khas (SITF), Pelan Tindakan untuk Masa Depan Sekolah Tamil (PTST), Sekretariat Khas untuk Pemerkasaan Usahawan India (SEED) dan unit khas untuk Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC).

MAT YUNUS BIN SABRI