SEREMBAN, 29 Mac- Pemakaian lencana Jalur Gemilang pada seragam sekolah dilihat sebagai inisiatif baik dalam memupuk semangat cinta akan negara sejak di bangku sekolah dan pelaksanaannya yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima reaksi positif orang ramai serta akan dijalankan secara berperingkat bermula 21 April ini.
Pensyarah, Prof. Dr. Abdul Halim Ali berpandangan pemakaian lencana tersebut bukan sahaja sesuai untuk pelajar sekolah, malah wajar diterapkan sejak peringkat prasekolah.
"Bukan sahaja di sekolah, malah di tabika pun bagus diamalkan supaya mereka ada kesedaran tentang jati diri sebagai anak bangsa Malaysia serta nilai kecintaan kepada negara melalui lencana yang dipakai.
"Apabila mereka memakai lencana di sekolah, ia bukan sahaja membangkitkan rasa bangga dan seronok, malah mengingatkan mereka bahawa mereka adalah generasi Malaysia," katanya ketika ditemui RTM di sini hari ini.
Bagi pekerja sektor swasta, Abdul Mujib, inisiatif itu mampu meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar sejak usia muda.
"Ia dapat meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar, terutama di peringkat sekolah rendah, supaya mereka dapat mengenali dan menanam rasa bangga terhadap negara dari usia kecil," ujarnya.
Sementara itu, penjawat awam, Khairunnajihah Abdul Halim, menyatakan pemakaian lencana Jalur Gemilang memberi pendedahan kepada murid mengenai identiti bendera negara.
"Saya berpendapat pemakaian lencana Jalur Gemilang sangat menggalakkan semangat patriotik dalam kalangan murid. Melalui cara ini, mereka dapat mengenali bendera Malaysia dan memahami maksud di sebalik nama Jalur Gemilang," katanya.