KUALA LUMPUR, 17 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggerakkan Ops Tiris yang berlangsung sejak 1 Mac 2023 bertujuan membanteras permasalahan penyelewengan diesel bersubsidi yang memanfaatkan pihak tidak layak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil dan perkembangan baik operasi tersebut, Ops Tiris 3.0 pula dijalankan dengan skop yang diperluas mencakupi barang-barang kawalan lain iaitu gula putih bertapis (kasar dan halus), minyak masak bungkusan beg poli 1 kilogram (kg), petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).
Hingga 31 Disember 2023, sebanyak 6.44 juta liter diesel dianggarkan berjumlah RM14.12 juta telah dirampas dan hingga 14 Jun lepas, sejumlah RM12.96 juta nilai barang kawalan telah dirampas dengan diesel menjadi barangan kawalan tertinggi yang diseludup dan diseleweng.
"Lantaran itu, Kerajaan MADANI akan kekal komited menangani penyeludupan diesel sambil berusaha mengimbanginya dengan perihal bekalan dan kos sara hidup rakyat," katanya menerusi kenyataan.
Perdana Menteri menjelaskan subsidi tidak dihapuskan, tetapi apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya.
Malah, katanya kerajaan masih perlu menanggung sekitar RM7 bilion untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata tujuan utama dasar penyasaran subsidi diesel adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak.
"Hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi ini tentunya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat," katanya.
Selain itu, Anwar berkata kerajaan masih mengekalkan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) sejak kerajaan MADANI mengambil alih tampuk kepimpinan, walaupun harga minyak sawit mentah (CPO) dunia meningkat melebihi harga ambang RM3,890 per tan metrik.
Beliau berkata sebagai contoh, dengan harga CPO pada bulan Mac RM4,215 per tan metrik dan April RM4,256 per tan metrik, harga minyak masak sawit tulen 5kg boleh meningkat sehingga RM33-RM35.