fb fb fb fb fb

Ops Gerak JAS: 128 kenderaan diesel diperiksa

JAS Kedah memeriksa kenderaan diesel dalam Op Gerak Kenderaan Bermotor / Foto RTM

JITRA, 14 November - 128 kenderaan diesel telah diperiksa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dalam Op Gerak Kenderaan Bermotor di Plaza Tol Jitra di sini semalam.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata operasi dijalankan bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Operasi tersebut adalah salah satu usaha bagi menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Dari Enjin Diesel) 1996.

"Lapan pemilik kenderaan yang dikenakan notis arahan dibawah Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 diarah menjalani ujian semula ke atas kenderaan masing-masing.
 
"Manakala dua pemilik kenderaan dikenakan kompaun masing-masing berjumlah RM2,000 di bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996," katanya menerusi kenyataan hari ini.
 
JAS berharap semua pemilik kenderaan dapat memastikan kenderaan masing-masing mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan melakukan pemeriksaan secara berkala dan tidak melakukan ubahsuai yang boleh melanggar peraturan ditetapkan.
 
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi JAS komited untuk menangani isu pencemaran alam sekitar dan mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan aktiviti pencemaran alam sekitar.

Trainee