fb fb fb fb fb

Ops Darat: 50 ikan hiasan larangan dirampas

Kakitangan Jabatan Perikanan Pulau Pinang menunjukkan ikan hiasan yang dirampas / Foto RTM

BUKIT MERTAJAM, 17 Oktober – Jabatan Perikanan Pulau Pinang merampas 50 ekor ikan hiasan larangan bernilai RM8,800 dalam operasi pemantauan Ops Darat, petang tadi.

Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Zarina Zainuddin berkata antara ikan yang dirampas adalah jenis Alligator Gar dan Flower Horn.

Katanya, rampasan terhadap ikan larangan itu melibatkan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

"Kita khuatir sekiranya keadaan ini tidak dikawal. Jadi, pembeli-pembeli yang membeli ikan larangan yang ada di akuarium tanpa permit ini, apabila ikan tersebut membesar dan mereka tidak mampu menjaganya, mungkin mereka akan melepaskannya ke perairan umum. Perkara ini sangat bahaya dan boleh menjejaskan ekosistem sungai kita serta mengancam spesies asli sungai," katanya kepada pemberita, di sini.

Zarina turut mengingatkan semua pengusaha untuk tidak menjual atau memiliki ikan larangan tanpa permit yang sah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN