fb fb fb fb fb

Op Tiris : 496 ditahan, RM80.11 juta barangan dirampas

Datuk Armizan Mohd Ali ditemui media selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih dan Advokasi Kepenggunaan di Kudat / FOTO RTM

KUDAT, 1 September- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan 496 individu dan merampas barang kawalan dan bersubsidi bernilai RM80.11 juta dalam Op Tiris 3.0 yang dijalankan antara 1 Januari hingga 28 Ogos lepas.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dalam tempoh sama, sejumlah 29,487 pemeriksaan diadakan di seluruh negara dan sebanyak 2,005 kes direkodkan.

Beliau berkata, pelaksanaan Op Tiris 3.0 penting dalam usaha mengekang kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi meliputi bahan api diesel, petrol RON95, minyak masak bungkusan polibeg 1 kilogram, gas petroleum cecair (LPG), tepung gandum dan gula putih bertapis 1 kilogram.

"Kita di KPDN pada tahun ini telah membuat ketetapan bahawa salah satu agenda teras KPDN bagi 2024 adalah meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan kerana apa kerana kita ingin pastikan bahawa antaranya subsidi yang diberikan oleh kerajaan melalui barangan tertentu betul-betul sampai kepada golongan sasar," katanya.

Datuk Armizan ditemui media selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih dan Advokasi Kepenggunaan di Kudat.

Beliau menambah, KPDN bersama Polis Diraja Malaysia turut berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan tiga premis berasingan di Nilai, Negeri Sembilan pada 23 Ogos lepas. 

Dalam serbuan terbabit, sebanyak 180,200 kilogram minyak masak bersubsidi pelbagai jenama telah disita, selain kenderaan dan beberapa dokumen seperti invois jualan dan belian. 

Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi itu dianggarkan berjumlah hampir RM500,000.

Seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing ditahan untuk membantu siasatan.

Hasil siasatan awal mendapati aktiviti yang disyaki telah didalangi oleh syarikat pemborong minyak masak yang berlesen ini bertujuan menyeleweng dan memindahkan minyak masak bersubsidi bungkusan polibeg 1 kilogram bagi jualan pada harga lebih tinggi daripada harga kawalan selain diseludup ke negara jiran.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE