Karkas kambing, udang galah antara makanan sejuk beku dirampas

Anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di sebuah premis penyimpanan makanan sejuk beku di Setiu Terengganu/Foto PGA Briged Tenggara

KUALA LUMPUR, 20 November – Karkas kambing, ayam sejuk beku, udang galah dan ikan antara 41 jenis produk makanan sejuk beku bernilai lebih RM335,000.00 yang disita Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi bersepadu di tiga lokasi sekitar Setiu, Terengganu semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Salju Mega dijalankan sekitar 11.30 pagi hingga 2.15 petang dengan kerjasama KKM dan Majlis Daerah Setiu.
  • Pemeriksaan di tiga lokasi mendapati banyak produk sejuk beku disyaki tidak mematuhi peraturan pengendalian, penyimpanan dan pelabelan import.
  • KKM menyita tiga peti sejuk, MDS mengenakan kompaun, dan penguatkuasaan serta pemantauan bersepadu akan dipergiatkan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi menerusi Op Salju Mega itu dijalankan kira-kira pukul 11.30 pagi hingga 2.15 petang dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Daerah Setiu (MDS).

Ahmad Radzi berkata, pemeriksaan membabitkan tiga lokasi termasuk dua premis perniagaan dan sebuah stor penyimpanan makanan sejuk beku.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai jenis produk makanan sejuk beku yang disyaki tidak mematuhi peraturan berkaitan pengendalian dan penyimpanan makanan.

“Sebahagian produk turut didapati tidak mempunyai maklumat nama dan alamat pengimport pada label bungkusan,” katanya.

Menurutnya, antara produk yang disita ialah ayam kepak, ayam chicken chop, kaki ayam, karkas kambing, tulang rusuk kambing, daging lembu, udang galah, ikan siakap, ikan merah, salmon, sotong dan lala.

Keseluruhan nilai produk makanan, tiga peti sejuk dan kompaun yang dikenakan dianggarkan RM357,107.55.

Beliau berkata, KKM turut menyita tiga peti sejuk bernilai RM18,000, manakala MDS mengeluarkan kompaun berjumlah RM3,500 berkaitan lesen, permit dan papan tanda premis serta stor terbabit.

“Pemantauan dan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti perniagaan barangan makanan yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan,” katanya.

Dalam operasi sama, tiga individu yang mengendalikan lokasi berkenaan turut menjalani pemeriksaan.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.