
TOKYO, 20 November – Kadar inflasi di Jepun kembali mencatatkan peningkatan pada Oktober 2026 didorong oleh kenaikan harga tenaga dan makanan.
- Inflasi teras (tidak termasuk barangan segar) meningkat kepada 2.2 peratus, berbanding 2.1 peratus pada September.
- Angka itu sedikit rendah berbanding unjuran penganalisis sebanyak 2.3 peratus.
- BoJ mengisytiharkan inflasi mencapai sasaran dua peratus; dasar monetari dijangka terus mengetat.
- Pegawai dijangka menaikkan kadar faedah bulan hadapan, manakala kejatuhan saham semikonduktor menjejaskan pasaran.
Data rasmi yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Jepun hari ini menyatakan, inflasi teras yang tidak termasuk barangan segar mudah meruap meningkat kepada 2.2 peratus, berbanding 2.1 peratus pada September dan 1.7 peratus pada bulan sebelumnya.
“Angka terbaharu itu bagaimanapun sedikit rendah berbanding unjuran 2.3 peratus oleh penganalisis ekonomi,” jelasnya.
Bulan lalu, Bank of Japan (BoJ) mengisytiharkan kadar inflasi negara itu telah mencapai sasaran dua peratus dan dijangka kekal berada jelas melebihi paras tersebut dalam beberapa bulan akan datang.
Situasi itu dipacu kenaikan harga pelbagai produk serta perkhidmatan termasuk komponen berkaitan permintaan kecerdasan buatan (AI) seperti semikonduktor.
Data inflasi terbaharu ini dilihat mengukuhkan lagi alasan bagi bank pusat tersebut untuk terus mengetatkan dasar monetarinya.
Pegawai kewangan Jepun turut dijangka menaikkan kadar faedah bulan hadapan seiring peningkatan tekanan inflasi semasa.
Dalam pada itu pada sesi dagangan hari ini, Indeks utama Bursa Saham Tokyo, Nikkei 225 menjunam lebih tiga peratus sekali gus mencatatkan penurunan ketara dalam pasaran kewangan serantau.
“Kejatuhan susulan kejatuhan saham berkaitan semikonduktor di Wall Street, meskipun penyenaraian sulung Anthropic mencatatkan prestasi memberangsangkan,” lapor media.
Pada sekitar pukul 8.15 pagi waktu Malaysia, indeks Nikkei 225 susut 3.05 peratus kepada 57,626 mata.
Sementara itu, indeks penanda aras Korea Selatan, Kospi turut mencatatkan penurunan sebanyak 3.42 peratus kepada 4,962 mata.- AFP