Op Tiris 4.0 perkukuh kawalan diesel subsidi di Pulau Ketam

Foto KPDN Selangor

PELABUHAN KLANG, 19 Mei – Kebimbangan ketirisan diesel bersubsidi dalam kalangan komuniti nelayan di Pulau Ketam berjaya diredakan apabila pemeriksaan bersepadu Op Tiris 4.0 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mengesahkan tiada penyelewengan dikesan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem pengagihan dikatakan terkawal dan telus, disokong penggunaan aplikasi MyMinyak untuk pemantauan agihan.
  • Pemeriksaan dijalankan ke atas tangki, bot nelayan serta pusat pengumpulan dan pengagihan diesel.
  • Alat timbang dan sukat di premis diperiksa; penentukuran mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972, peniaga menunjukkan kesedaran tinggi.
  • Operasi bersepadu dijalankan KPDN Selangor bersama KPDN Putrajaya dan Pasukan Polis Marin Wilayah 1 untuk perkuat pemantauan dan pematuhan.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) KPDN, Aris Mamat berkata, sistem pengagihan berada pada tahap terkawal dan telus.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati proses pengagihan yang dikendalikan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) berjalan dengan baik, termasuk penggunaan sistem aplikasi MyMinyak yang memudahkan pemantauan dan pengesanan agihan secara lebih sistematik.

“Pihak kami turut melakukan pemeriksaan ke atas beberapa tangki, bot nelayan serta pusat pengumpulan dan pengagihan diesel.

“Kami juga diberikan penerangan terperinci oleh pihak PNK mengenai kaedah agihan kepada nelayan serta proses pemantauan hasil tangkapan selepas pulang dari laut,” katanya.

Dalam operasi sama, pasukan penguat kuasa turut menjalankan pemeriksaan ke atas alat timbang dan sukat di premis perniagaan sekitar Pulau Ketam bagi memastikan ia ditentukur dan mematuhi piawaian di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

“Hasil pemantauan mendapati peniaga di kawasan itu menunjukkan tahap kesedaran tinggi terhadap kepentingan kalibrasi alat timbang, sekali gus mengurangkan risiko penipuan terhadap pengguna.

“Selain itu, bekalan barangan keperluan asas termasuk tepung dan barangan kawalan lain di Pulau Ketam didapati mencukupi dan stabil tanpa sebarang gangguan bekalan,” katanya.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN Selangor dengan kerjasama Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya serta Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Pelabuhan Klang, dalam usaha memperkukuh pemantauan dan memastikan pematuhan undang-undang terus dipertingkat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.