KPWKM rekod lebih 1,000 laporan gangguan seksual libatkan mangsa lelaki

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Kes gangguan seksual di negara ini bukan lagi hanya melibatkan golongan wanita, sebaliknya semakin ramai golongan lelaki kini tampil membuat aduan dan mendapatkan bantuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPWKM merekod lebih 1,000 laporan gangguan seksual membabitkan mangsa lelaki.
  • Tiga kes mangsa lelaki difailkan di Tribunal Antigangguan Seksual, beberapa kes diberi pampasan.
  • Kementerian mengkaji pindaan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 selepas lebih 4,000 kes direkodkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata statistik yang diterima kementerian kini mencecah lebih 1,000 laporan melibatkan mangsa lelaki.

Beliau berkata angka itu hanya membabitkan aduan yang diterima di kaunter Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan tidak termasuk laporan polis.

“Kes gangguan seksual ini bukan hanya melibatkan wanita, tetapi juga lelaki. Maka kita perlu menghormati semua jantina tanpa mengira lelaki atau perempuan.

“Lelaki juga tidak mahu diperlakukan sedemikian. Sebab itu kementerian terus memperkasakan program advokasi agar mangsa tahu saluran yang betul untuk mendapatkan pembelaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harassment di sini, hari ini.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak tiga kes melibatkan mangsa lelaki telah difailkan di bawah Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) dan ada antaranya telah diberikan pampasan.

Dalam pada itu, Datuk Seri Nancy turut memaklumkan kementerian sedang mengkaji keperluan untuk meminda Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 selepas lebih 4,000 kes direkodkan antara 2021 hingga Oktober tahun lalu.

Langkah itu bagi memastikan undang-undang sedia ada kekal relevan dan lebih menyeluruh dalam menangani isu keganasan domestik.

“Pindaan itu perlu dikaji secara menyeluruh bagi mengelakkan pertindihan atau percanggahan dengan undang-undang sedia ada yang mempunyai intipati hampir sama, sekali gus memastikan perlindungan terbaik kepada mangsa.

“Kami juga akan bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam proses pindaan akta ini. Mereka akan sentiasa mengadakan mesyuarat bagi meneliti perkara yang masih perlu dilakukan dan kami akan turut memberikan input dari semasa ke semasa,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.