
KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Kerajaan sedang meneliti penggunaan pendapatan boleh guna bersih (NDI) sebagai asas pemberian bantuan bagi memastikan keperluan kewangan isi rumah, termasuk golongan berpendapatan sederhana, dinilai dengan lebih adil.
- Skim Jaminan Kredit Perumahan MADANI menawarkan jaminan sehingga RM360,000; SJKP Inklusif sehingga RM500,000 bagi pembeli rumah pertama.
- Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan kepada RM200 untuk 5.3 juta murid; diskaun 10% untuk peminjam PTPTN yang membayar secara teratur.
- Pelepasan cukai individu dinaikkan kepada RM12,000; pengurangan satu mata peratusan cukai; gaji sara hidup GLIC/GLC dinaikkan kepada RM3,400.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, sementara kaedah pengukuran baharu itu dimuktamadkan, kerajaan menerusi Belanjawan 2027 terus melaksanakan pelbagai langkah bagi meringankan beban rakyat, termasuk golongan kelas pertengahan.
“Dalam sektor perumahan, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) MADANI menawarkan jaminan pembiayaan sehingga RM360,000, manakala SJKP Inklusif menyediakan jaminan sehingga RM500,000 bagi pembeli rumah pertama.
“Dalam sektor pendidikan, Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan kepada RM200 bagi 5.3 juta murid tanpa mengira pendapatan keluarga. Kerajaan turut menawarkan diskaun 10 peratus bagi bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam yang membuat bayaran secara teratur,” katanya.
Beliau menyatakannya bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Haji Jalaluddin Alias, mengenai penilaian kerajaan terhadap kedudukan sebenar golongan kelas pertengahan yang berdepan peningkatan komitmen perumahan, pendidikan, kesihatan dan keluarga.
Menurutnya, skim MediAsas yang menawarkan insurans dan takaful perubatan mampu milik turut dijadualkan dilancarkan mulai Januari 2027.
Dalam aspek percukaian, kerajaan mengumumkan peningkatan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, pengurangan satu mata peratusan kadar cukai bagi pendapatan bercukai antara RM70,001 hingga RM150,000 serta peluasan pelepasan cukai bagi penjagaan ibu bapa.
“Langkah berkenaan dijangka memberi lebihan sehingga RM1,600 kepada lima juta pembayar cukai,” katanya.
Datuk Seri Mohd Shahar berkata, Dasar Gaji Progresif turut diteruskan, manakala penanda aras gaji sara hidup di syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dinaikkan daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan mulai 2027, yang dijangka memanfaatkan 230,000 pekerja.
Kerajaan turut memperluas pendekatan bantuan sejagat bagi keperluan asas menerusi inisiatif seperti Bantuan Awal Persekolahan dan BUDI95 yang turut memberi manfaat kepada golongan kelas pertengahan.