
KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengeluarkan notis menghentikan serta-merta aktiviti hiburan yang melanggar peraturan dan mengganggu ketenteraman awam, termasuk aktiviti karaoke di inap desa serta acara terbuka.
- PBT sediakan petugas penguat kuasa syif dan sistem panggilan bertugas di luar waktu pejabat untuk tangani aduan gangguan ketenteraman awam.
- Maklumat perlu sampai kepada PBT dan tindakan undang-undang telahpun diperuntukkan.
- PBT jalankan operasi bersepadu dengan Polis Diraja Malaysia untuk membolehkan tindakan tegas di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil atau Akta 336.
- Bagi hiburan berhampiran hospital, sekolah atau perumahan, PBT boleh ambil tindakan, sita peralatan, kenakan kompaun atau tarik balik lesen perniagaan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, PBT turut menyediakan petugas penguat kuasa secara syif dan sistem panggilan bertugas (on-call) di luar waktu pejabat bagi menangani aduan berkaitan gangguan ketenteraman awam.
“Yang paling penting, maklumat sampai kepada PBT dan tindakan berdasarkan undang-undang telah pun memang ada diperuntukkan.
“Bagi memperkemas kawalan di lapangan, PBT juga ada menjalankan operasi-operasi bersepadu dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia.
“Kerjasama ini adalah bagi kita membolehkan tindakan tegas diambil di bawah peruntukan Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil ataupun Akta 336 berkaitan dengan kesalahan membuat bising,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor mengenai keberkesanan penguatkuasaan yang dijalankan di luar waktu pejabat, khususnya terhadap aktiviti karaoke di inap desa dan acara terbuka yang sering menimbulkan aduan.
Menurut Datuk Aiman Athirah, bagi aktiviti hiburan berhampiran hospital, sekolah dan kawasan perumahan, tindakan penguatkuasaan boleh diambil berdasarkan aduan serta peruntukan undang-undang sedia ada.
PBT juga boleh menyita peralatan, mengenakan kompaun atau mengambil tindakan terhadap lesen perniagaan sekiranya berlaku pelanggaran syarat.