SHAH ALAM, 14 November - Kerajaan Negeri akan melakukan Op Terjah bersepadu terhadap mana-mana kilang yang beroperasi secara haram memperoses sisa 'e-waste'.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata langkah ini bagi membendung pencemaran yang dilakukan kilang terbabit sehingga menjejaskan kualiti hidup penduduk sekitar.
Beliau mengakui wujud kilang berkenaan terutama di Telok Gong, Klang dan Kuala Langar yang beroperasi secara bersenyap di tanah pertanian.
"Kita dah kenal pasti beberapa, baru-baru ini di Kuala Selangor ada sitaan dan juga penguatkuasaan dijalankan.
"Mereka tiada lesen dan menyewa kilang di tanah pertanian dan bekerja secara sorok-sorok sehingga menghasilkan bau menjejaskan keselamatan penduduk, kesihatan dan sebagainya.
"Saya akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dan juga Exco Jamaliah untuk melakukan Op terjah bersepadu terhadap kilang tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Townhall program pematuhan syarat dan penguatkuasaan kilang tanpa kebenaran (KTK) Selangor bagi Daerah Petaling dan Klang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 6,690 KTK di atas 5,352 lot tanah didapati masih beroperasi setakat data 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri sehingga Oktober lalu.