PUTRAJAYA, 6 Februari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memanggil tiga selebriti ke Ibu Pejabatnya di Putrajaya bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menerusi Op Sky yang melibatkan sebuah syarikat perunding kewangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan ketiga-tiga individu tersebut hadir pada jam 10 pagi bagi melengkapkan siasatan berhubung peranan mereka dalam mempromosikan pakej syarikat berkenaan kepada penjawat awam.
"Buat masa ini, kami melihat ketiga-tiga individu ini sebagai pempengaruh (duta) kepada syarikat berkenaan. Mereka dipanggil bukan sahaja untuk melengkapkan siasatan, tetapi juga bagi meneliti mengapa syarikat itu menggunakan selebriti untuk mempromosikan pakej mereka kepada penjawat awam, khususnya dalam permohonan pinjaman dari institusi kewangan," katanya dalam sidang media berhubung perkembangan pencegahan SPRM di Putrajaya.
Ditanya sama ada akaun bank selebriti itu dibekukan, Azam berkata SPRM tidak berbuat demikian, sebaliknya pembekuan hanya membabitkan syarikat perunding kewangan yang dikaitkan.
"Setakat ini, saya dimaklumkan sejumlah RM18 juta wang dalam akaun yang dibekukan dan duit ini dalam akaun syarikat berkenaan.
"Kita tidak mempertikaikan bayaran yang mereka terima, tetapi jika jumlah pelaburan yang begitu besar dibuat untuk membayar selebriti, ia menimbulkan kemusykilan kepada kami. Dalam penyiasatan ini, kita melihat kepada semua sudut," katanya lagi.
Sebelum ini, SPRM mendedahkan beberapa selebriti dan artis menerima bayaran sehingga RM400,000 dalam tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat berkenaan.
Azam turut mendedahkan syarikat itu menggunakan modus operandi meminta peminjam melabur kembali wang mereka ke dalam syarikat terbabit selepas pinjaman diluluskan.
"Ini satu lagi perkara yang perlu kita lihat sama ada ia mungkin berlaku dan kesalahan ini dipanggil pengambilan deposit secara tidak sah," katanya.