fb fb fb fb fb

Op Ramadan 2025: 4,112 premis makanan diperiksa di Perak

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India, A. Sivanesan (dua, kanan) membuat pemeriksaan kriteria gerai pada Majlis Peluncuran Operasi Ramadan 2025 peringkat negeri Perak di Tapak Bazar Ramadan Seri Iskandar Business Centre (SIBC) / Foto Bernama

SERI ISKANDAR, 6 Mac - Jabatan Kesihatan Negeri Perak menyasarkan sebanyak 4,112 premis makanan untuk diperiksa sepanjang pelaksanaan Op Ramadan 2025 bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian kebersihan dan keselamatan makanan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India, A. Sivanesan berkata pemeriksaan meliputi bazar Ramadan, hotel yang menyediakan bufet Ramadan, serta premis pembekal bahan mentah dan ais.

"Pemantauan ini juga bertindak sebagai didikan kepada pengusaha makanan. Kita akan menasihati mereka, bukan semata-mata menghukum. Jika terdapat pelanggaran serius, barulah kompaun atau tindakan lanjut diambil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Peluncuran Operasi Ramadan 2025 peringkat negeri Perak di Tapak Bazar Ramadan Seri Iskandar Business Centre (SIBC), di sini.

Tahun lalu, sebanyak 3,387 premis makanan telah diperiksa sepanjang bulan Ramadan, dengan 3,112 daripadanya berada pada tahap memuaskan.

Selain itu, 156 sampel makanan telah diambil untuk analisis, dan 39 sampel didapati melanggar piawaian yang ditetapkan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN